Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mempersoalkan mengapa sering berlaku sungutan mengenai permohonan-permohonan zakat, lambat menerima agihan?
Dalam titah semasa Keberangkatan Tidak Berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam turut mempersoalkan, ada yang terpaksa menunggu sampai berbulan malah bertahun, dan mengapakan perkara seperti ini boleh berlaku?
Menurut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia lagi, dikatakan kerana terpaksa untuk mengambil masa membuat penilaian kerana semua permohonan mesti dinilai terlebih dahulu.
"Baik mari kita tetapkan permohonan itu ialah asnaf, fakir miskin. Kita akan nilai dia sama ada benar ataupun tidak dia atau fakir miskin.
"Pada beta, tidaklah ada susahnya untuk membuat penilaian kerana siapa memohon kita sudah tahu di mana rumahnya, di mana kampungnya, dan siapa Ketua Kampungnya. Lalu tidak bolehkan diaturkan kakitangan Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal (JUZWAB) bersama Ketua Kampung untuk turun padang mengunjungi pemohon bagi menyaksikan sendiri keadaan pemohon dan untuk mengetahui semua perkara yang diperlukan sehingga dengan itu dapatlah dimuktamadkan penilaian sama ada pemohon layak atau tidak untuk menerima zakat.
"Tidakkah memadai penilaian dibuat dengan cara ini, dan jika memadai adakah mesti sampai mengambil masa berbulan atau bertahun?", titah baginda lagi.
Kebawah DYMM seterusnya bertitah, contoh lain ialah asnaf Al-Gharimin, iaitu permohon kerana berhutang, yang penilaian di sini juga tidak susah.
"Memadai kita pastikan betulkah dia benar-benar berhutang, kepada siapa dia berhutang? Katakan dia berhutang kepada bank, berapa hutangnya? Mungkin dalam rekod bank dia mampu membayar hutang secara potongan gaji, tetapi sekarang dia sudah tidak lagi bekerja kerana sebab tertentu maka baki hutang dia di bank tidak lagi dapat dibayar.
"Kerana itu dia memohon zakat selaku asnaf Al-Garimin. Adakah dalam kes ini juga penilaian mesti dibuat sampai berbulan atau bertahun?
"Pihak berkenaan mengeluh kerana mendapatkan zakat berkurangan. Mengapa kurang? Kerana ramai orang tidak berzakat. Jadi apa KHEU patut buat?", soal titah baginda lagi.
Kebawah DYMM turut bertitah, sekurang-kurangnya yang patut dibuat ialah dengan mengadakan kempen menerusi iklan seperti iklan untuk menambah dana masjid dan iklan untuk anak-anak yatim yang disiarkan berulang-ulang kepada setiap hari melalui televisyen.
Malah titah baginda lagi, iklan menggalakkan berzakat adalah lebih utama dibuat kerana zakat perkara wajib.
Jelas titah baginda, mustahak orang ramai diberitahu bahawa akibat tidak berzakat atau enggan mengeluarkan zakat adalah dosa besar, boleh mengundang kepada neraka, sebaliknya, menunaikan zakat membawa pelakunya ke syurga.
"Tetapi beta belum pernah melihat seperti ini dibuat. Padahal perkaranya tidaklah susah.
"Di samping untuk promosi supaya zakat juga boleh disalurkan melalui khutbah dan ceramah-ceramah oleh para da'ie dan penceramah," titah baginda lagi.